Rabu, 10 September 2008

Persekolahan Rendah dan Menengah

Aku dibesarkan di Kudat. Tahun 1970 aku memasuki darjah satu SRK Pekan Kudat, 1976 masuk tingkatan satu di SMK Pekan Kudat. Ditawarkan biasiswa Yayasan Sabah ke Semenanjung di SSI, JB Sekolah Menengah Sultan Ismail di Johor Bahru. 1976 hingga 1980. Oleh keputusanku tidak cemerlang aku dihantar bersekolah di Institut Al Masriyah Bukit Mertajam, Pulau Pinang 1981 hingga 1982. Banyak pengalaman hidup semasa belajar di JB. Ada keluarga angkatku di Larkin Jaya dan Kuala Sedili, Kota Tinggi. Di asrama SSI banyak menyimpan kenangan, enda perlulah diceritakan semuanya di sini. Cukup dulu buat petang ini, akan disambung kemudian hari.

Jumaat, 5 September 2008

Enjin rosak - berkayuh pulang ke rumah

Ada suatu ketika memukat ikan, pukat tersangkut, usaha telah dibuat oleh bapa namun masih juga gagal, beberapa kali selaman tidak juga berhasil. Terpaksalah pukatnya dipotong. Malangnya enjin pun rosak. Terpaksalah berkayuh bergilir-gilir. Bukannya dekat jauh juga jaraknya. Dari Limau-Limauan ke Kg Langsana, malam baru tiba dengan dahaga dan kelaparan. Pertengahan tu singgah minta air minuman dari kenalan bapa. Tengah malam baru tiba di rumah. Inilah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Khamis, 4 September 2008

Aku merinduimu Langsana

Aku dibesarkan di Kudat, di satu kampung bersama Kg Langsana, 20 minit perjalanan menaiki perahu dari Bandar Kudat. Jauh dari jiran-jiran, jiran terdekat adalah rumah Haji Samat Pg. Danta. Jiran lain, nenekku Haji Apuajan Ag Besar, pakcik Abu Bakar Abdul Karim dan Abdul Rashid Hj. Apuajan. Dilahirkan di Kampung Ayer pada 1964 dan dibesarkan di Langsana, bersekolah di Kudat (1970-1976), Sekolah Rendah Pekan Kudat dan Sekolah Ugama Islam Kudat. Kehidupan di Langsana adalah kehidupan yang cukup menarik. Aku masih ingat zaman kanak-kanakku mengambil air di perigi nenek yang agak jauh juga, berakit dengan kayu hanyut di pangkalan Langsana, mencari Tekuyung timba di celah-celah paya bakau, mengambur(memancing ikan) dan menuhur(aktiviti mencari siput), melastik burung, mencari pucuk bagu(sejenis sayuran hutan) dijadikan sayur dan ikut bapa ke laut menjaul. Ikut menamu bersama emak di Dualog. Pokoknya kehidupan susah pernah dirasai. Pindah ke Kampung Ayer bila bapa membuat rumah di sana akibat sukarnya kehidupan di Langsana yang sunyi dan menakutkan apabila malam menjelang, hantu dan pengait. Di Kudat walaupun kehidupan masih lagi susah, pergi sekolah tidaklah basah disiram ombak dan dirotan gurubesar kerana lewat ke sekolah.